Semangat dan keazamannya dalam melakar kejayaan wajar dicontohi. Dia juga berjaya membuktikan tidak semua perniagaan memerlukan modal permulaan yang besar sehingga perlu melakukan pinjaman di institusi perbankan.

Bermodalkan wang simpanan sendiri sebanyak RM500, anak kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini mampu tersenyum puas dengan apa yang dikecapinya kini.

Mana tidaknya, daripada berniaga air mangga di pasar malam kini anak muda ini berjaya memasarkan sekurang-kurangnya 2,000 botol air mangga setiap hari di seluruh negara termasuk di negara jiran, Singapura.

Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang perniagaan, Siti Aisyah Kamaruddin, 26, yang kini mengusahakan perniagaan Ayaq Mangga By Bonda berkata, semuanya bermula pada 2011 ketika dia baru pertama kali mencuba menceburi bidang perniagaan.

“Ketika itu saya berniaga secara sambilan di bazar Ramadan di Shah Alam, Selangor dengan menjual nasi lemak. Hampir dua minggu saya cuba menjual namun setiap hari nasi lemak itu tidak habis dan perniagaan tidak mendapat sambutan.

“Dalam kekecewaan ketika itu, seorang peniaga air mangga di tapak bazar yang sama datang bertemu dan memberi idea untuk saya menjual air mangga sepertinya selain menerangkan serba sedikit mengenai selok belok perniagaan air mangga,” katanya.

Siti Aisyah berkata, dengan fikiran positif untuk berjaya, dia kemudian mula menjalankan perniagaan air mangga di bazar Ramadan Sentul sebelum mula mengembangkan perniagaan dengan menjualnya di kawasan berhampiran masjid, pasar malam dan bazar lain sekitar ibu kota.

“Syukur, ia satu pilihan yang tepat kerana perniagaan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Ternyata keputusan saya untuk terus mengorak langkah tanpa mengambil kira kekecewaan yang pernah dialami membuahkan hasil yang tidak disangka,” ujarnya.

Ayaq Mangga By Bonda


Mengambil kira sambutan yang diterima, Siti Aisyah bersama suami sepakat mengembangkan lagi perniagaan dengan menghasilkan jenama sendiri.

“Bermula daripada itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang, hari demi hari saya lalui dengan semangat serta usaha tanpa jemu dalam mengembangkan jenama ini.

“Bagi saya mudah saja, air mangga yang dihasilkan itu perlu lazat bagi memastikan ia terus digemari ramai. Oleh itu, saya juga perlu pastikan bekalan mangga yang diperoleh daripada kebun mangga di seluruh Malaysia dan Thailand segar serta berkualiti,” katanya.

Kata Siti Aisyah, dia juga sentiasa memastikan ramuan yang digunakan dalam menghasilkan air mangga itu mencukupi bagi mengekalkan keenakan rasa selain tidak menggunakan sebarang bahan pengawet.

“Tidak kiralah perniagaan apa yang anda usahakan, perlu yakin dengan produk anda serta jangan mudah berputus asa kerana kejayaan itu tidak datang bergolek.

“Syukur, kini saya mempunyai 18 stokis, 300 ejen dan hampir 400 dropship di seluruh Malaysia dan Singapura yang membuatkan air mangga ini dapat dirasai di seluruh lokasi,” ujarnya.

Menurutnya, sama seperti usahawan lain, dia tidak terlepas daripada berdepan dugaan yang menguji tahap kesabaran dan kekuatan dirinya.

“Bayangkan, hampir 3,000 botol air mangga kami rosak ketika Aidilfitri tahun lalu akibat tempat penyimpanan terputus bekalan elektrik. Rasa hendak menangis dan menjerit ketika berdepan masalah itu, namun saya reda dan segera positifkan diri.

“Syukur, masalah itu dapat diatasi dan hingga kini perjalanan perniagaan berjalan lancar. Saya yakin pasti ada lagi dugaan lain selepas ini dan saya perlu hadapinya dengan tenang,” katanya.

Siti Aisyah berkata, dia bersyukur dengan apa yang dikecapinya kini dan bertekad untuk terus melakar kejayaan yang lebih selepas ini.

“Saya berjaya buktikan peniaga pasar malam juga boleh berjaya asalkan ada perancangan, usaha dan strategi yang tepat dalam mengembangkan perniagaan.

“Saya juga berazam membantu lebih ramai peniaga yang mahu memulakan perniagaan namun tidak mempunyai modal. Seperti yang saya katakan asalkan ada keinginan dan semangat untuk berjaya,” ujarnya.


Sumber : www.hmetro.com.my/hati/2018/03/324601/jual-2000-botol-air-mangga-setiap-hari

Post a Comment